5 ARTIS TERCANTIK MALAYSIA : AYU RAUDHAH TERATAS!
Sehingga tarikh akhir carta undian itu dijalankan, hampir 500,000 undian diterima dan mengejutkan apabila pelakon, Ayu Raudhah berada pada kedudukan pertama dengan undian lebih 115,000.
- Ayu Raudhah teratas -
KUALA LUMPUR: Cantik dan berbakat antara pakej yang tidak dapat
dipisahkan dengan artis yang menceburi bidang seni sama ada di
Hollywood, Bollywood atau di negara kita.
Pastinya istilah cantik ini bukan saja merujuk kepada wajah, sebaliknya
penampilan mereka secara keseluruhannya sepanjang pembabitan dalam
bidang seni tanah air.
Berikutan itu juga, Metro Ahad menjalankan undian bagi mencari ‘5 Artis
Paling Cantik’ tanah air menerusi laman web rasmi Kumpulan Harian Metro.
Undian berkenaan diadakan selama tiga bulan bermula 2 Oktober dan berakhir semalam.
Pencarian lima artis paling cantik itu berdasarkan senarai 14 selebriti
tanah air yang terkenal dengan populariti, bakat dalam bidang seni serta
gosip mereka.
Sejak carta undian ini diwujudkan, maklum balas yang diterima daripada
peminat seni, khususnya pembaca setia dan pelayar laman web rasmi akhbar
ini, sungguh memberangsangkan.
Sehingga tarikh akhir carta undian itu dijalankan, hampir 500,000 undian
diterima dan mengejutkan apabila pelakon, Ayu Raudhah berada pada
kedudukan pertama dengan undian lebih 115,000.
Ayu Raudhah satu-satunya artis wanita di negara ini yang memperoleh
undian melebihi 100,000, sekali gus menenggelamkan populariti beberapa
artis wanita lain yang sebelum ini banyak dihujani kontroversi dan
gosip, termasuk kakaknya, Rozita Che Wan dan Fasha Sandha.
Sekalipun sudah berkahwin dengan pemain pemain bola sepak kebangsaan
yang juga penyerang Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 24,
ternyata ia bukan sebab utama pembaca tidak memilihnya.
Sebaliknya, ia juga mungkin disokong dengan populariti suaminya selaku
pemain bola sepak selain imej bersihnya yang tidak terpalit dengan
kontroversi liar.
Menerusi carta undian ini juga, kebanyakan artis wanita lain hanya
memperoleh purata undian sekitar 85,000. Malah, beberapa artis yang
tersenarai dalam kumpulan 14 artis paling cantik hanya memiliki jumlah
undi tidak sampai 10,000.
Fasha yang sebelum ini banyak mencetuskan kontroversi dan pernah
dinobatkan pembaca sebagai artis paling seksi menerusi carta undian yang
pernah diadakan Metro Ahad, turut terkeluar daripada senarai paling
cantik.
Dalam undian itu, Fasha yang sering dikaitkan dengan percintaan ‘pasang
surut’ bersama Jejai, pertelingkahan dengan Nora Danish serta beberapa
kali dikaitkan dengan penyebaran gambar seksi dirinya, hanya memperoleh
3,070 undian.
Pendatang baru yang mempesona, Neelofa, atau nama penuhnya, Neelofa Mohd
Noor, 22, pula di tangga kedua carta dengan undian sebanyak 85,300.
Neelofa yang juga Juara Dewi Remaja 2010, laris bagaikan pisang goreng
panas apabila menjadi rebutan pengarah serta penerbit filem.
Bukan sekadar bersandarkan rupa paras jelita, bintang baru ini berbakat
besar dengan mutu lakonan yang semakin meyakinkan. Tidak sampai setahun
pembabitannya, dia berpeluang menjayakan watak utama dan membintangi
empat filem iaitu Azura 2011, Hantu Kapcai, Saya Amat Mencintai (SAM)
dan Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada 2012.
Undian pembaca terhadap Neelofa sekali gus mengetepikan populariti
Rozita Che Wan yang berada pada kedudukan ketiga dengan undian sebanyak
85,272.
Namun, ia tetap membuktikan pelakon jelita yang terkenal dengan bulu
mata lentik ini masih menjadi tarikan dan sebutan di kalangan peminat
industri hiburan tanah air.
Menerusi carta undian itu juga, dua artis lain yang tersenarai dalam
kumpulan ‘5 Artis Paling Cantik’ adalah Nora Danish dan Natasha Hudson.
Jumlah undian diterima Nora adalah 84,868, manakala Natasha pula 84,441 undian.
Jumlah undian diterima Natasha juga mengejutkan berikutan mengalahkan
beberapa artis yang sebelum ini memang cukup popular dalam industri seni
tanah air dan terkenal dengan kecantikan mereka seperti Datuk Siti
Nurhaliza, Diana Danielle dan Maya Karin.
Undian terhadap Nora dan Natasha membuktikan mereka masih mempunyai
tempat di hati peminat walaupun kedua-duanya gagal dalam rumah tangga
dan bergelar janda.
Dalam senarai berikutnya, jika dikira mengikut rating enam hingga 10,
pembaca MyMetro memilih Diana Danielle (84,098), Lisa Surihani (81,920),
Siti Nurhaliza (81,555), Maya Karin (7,405) dan Maria Farida (3,715).
Nama artis lain yang turut tersenarai adalah Fasha, Mimi One Nation Emcee, Kilafairy dan Izara Aisyah.
Sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment